Khamis, 17 Mac 2011

Situasi 40 (Khamis, 17/3/11)

                                   Apa itu Belanar???




Assalamualaikum...

Hari ini saya berasa sangat gembira kerana dapat menghabiskan masa bersama keluarga di kampung. Ketika sedang makan petang di rumah, jiran saya datang untuk bersembang. Jiran saya itu dikenali sebagai Mak Cik Jahara. Dia memang terkenal dengan keramahannya dalam bersembang. Tiba-tiba dia meminta kepada emak saya untuk mengambil buah mempelam di belakang rumah. Setibanya di belakang rumah, kami bersama-sama mengait buah mempelam untuknya. Setelah hampir 10 biji dikait, Mak Cik Jahara berkata sesuatu yang saya tidak memahaminya. Ayat yang diucapkannya adalah seperti berikut:

Mak Cik Jahara: Cukup la...dah ’belanar’ buah ni...

Lalu saya bertanya kepadanya maksud belanar itu. Kemudian dia memberitahu bahawa belanar itu bermaksud banyak. Sebenarnya perkataan belanar ini diambil daripada dialek ’Pattani’, Thailand. Hal ini demikian kerana latar belakang Mak Cik Jahara yang berasal dari Pattani. Dia tetap tidak dapat mengubah dialeknya walaupun sudah berada di Malaysia hampir 40 tahun. Selepas diterangkan oleh Mak Cik Jahara tentang maksud belanar itu, barulah saya mengetahuinya dengan lebih jelas. Kini saya sudah mengetahui pelbagai dialek menerusi pergaulan dengan pelbagai masyarakat sama ada di kampung atau di kolej.

Situasi 39 (Khamis, 17/3/11)

                                 Dialek Utara: Peda



Assalamualaikum...

Hari ini saya dikehendaki untuk mengikuti ceramah amali di Institut Memandu Ilmu Pandu Sdn. Bhd. Ceramah tersebut diadakan selama enam jam iaitu tiga jam di dalam bilik kuliah dan tiga jam lagi di litar. Semasa penerangan amali dijalankan, seorang jurulatih telah menyebut satu perkataan yang menarik minat saya untuk dikongsikan di sini iaitu ’peda’(penggunaan e pepet). Ayat yang digunakannya ialah:

Jurulatih (dialek Kedah) : Kalau nak buat ujian titi ni, ’peda’ sikit motor tu bagi tak jatuh.
Jurulatih (ayat baku)   : Kalau hendak melakukan ujian titi, kamu mesti kawal motosikal kamu supaya tidak jatuh.

Perkataan ’peda’ ini merupakan salah satu dialek utara yang bermaksud ’kawal’. Saya percaya ramai dalam kalangan rakan-rakan blog ini tidak tahu makna perkataan tersebut. Jadi, melalui situasi yang dinyatakan di atas, dapatlah anda mengetahuinya dengan jelas di samping menambah pengetahuan anda tentang dialek Kedah.











situasi 38 (Selasa, 15/3/11)

                             Pengajaran Makro

Assalamualaikum...

Hari ini saya menjalankan tugasan mikro dalam kumpulan bersama rakan-rakan. Kami membuat makro dalam kelas sahaja dan bukannya di sekolah. Perkara yang menarik minat saya ialah mengenai salah satu perkataan yang disebut oleh seorang rakan saya semasa tugasan membentuk kumpulan dijalankan. Situasinya adalah seperti berikut:

Rakan  : Baiklah pelajar-pelajar, sekarang saya nak kamu duduk dalam kumpulan. Bagi pelajar yang di hadapan ni, ”sila putar kerusi” ke arah rakan kamu di belakang.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa ayat yang disebut oleh rakan saya itu salah. Perkataan putar tidak sesuai digunakan untuk situasi tersebut. Putar di sini bermaksud pusing berkali-kali. Oleh itu, perkataan yang sesuai digunakan ialah ”sila alihkan atau pusingkan kerusi kamu ke belakang.” 


Situasi 37 (Ahad, 13/3/11)

                                 Bertih: Campak

Assalamualaikum....

Hari ini saya menghabiskan masa hujung minggu dengan membuat tugasan yang belum disiapkan. Pada waktu malam pula, saya bersama enam orang rakan berbincang mengenai tugasan kumpulan untuk subjek Semantik dan Pragmatik. Tajuk yang dipilih oleh kami adalah berkaitan dengan dialek Kedah yang terdapat dalam novel. Ketika sedang berbincang mengenai dialek Kedah tersebut, rakan-rakan yang lain juga ada berkongsi dialek masing-masing.

Salah satu perkataan yang menarik minat saya ialah perkataan ’bertih’ yang diambil daripada dialek Kelantan. Menurut rakan saya, ’bertih’ itu bermaksud ’demam campak besar’. Bagi saya, bertih itu bermaksud bertih jagung. Sebelum ini saya tidak pernah mengetahui bahawa orang Kelantan menggunakan perkataan bertih untuk penyakit ’demam campak besar’. Setelah saling berkongsi pengetahuan, barulah saya mengetahuinya dengan lebih mendalam.

Pertukaran idea seperti ini telah memberikan saya banyak pengetahuan baru mengenai dialek. Kini, saya sudah memahami makna bertih dalam dalam dialek Kelantan. Menurut kamus pula, perkataan bertih bermaksud padi yg digoreng (direndang) tanpa minyak dan dibuang kulitnya.


Situasi 36 (Sabtu, 12/3/11)

                        Perhentian Bas vs Stesen Bas      


Assalamualaikum....

Setiap hujung minggu saya dan rakan-rakan akan pergi ke pasar malam Tanjong Malim untuk membeli makanan dan sebagainya kerana terdapat banyak pilihan. Hari ini kami tidak dapat berjalan lama di pasar malam kerana hujan lebat. Kami hanya sempat membeli makanan sahaja. Setelah selesai membeli makanan, kami memilih untuk terus pulang ke rumah sewa. Oleh sebab hari hujan, kami menelefon pak cik kereta sapu untuk menggunakan khidmatnya. Rakan saya telah menelefon pak cik tersebut dan memintanya untuk mengambil kami di Pekan. Situasinya seperti berikut:

Rakan  : Assalamualaikum pak cik. Boleh tolong ambil kami tak dekat pasar malam?
Pak cik : Boleh. Tunggu kat mana?
Rakan  : Kami tunggu dekat perhentian bas sebab hujan lebat.
Pak cik : Perhentian bas mana?
Rakan  : Dekat depan tapak pasar malam laa.
Pak cik : Tu bukan perhentian bas, tapi stesen bas.

Berdasarkan situasi di atas, jelas menunjukkan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak tahu membezakan antara perhentian bas dan stesen bas. Hal ini demikian kerana mereka tidak prihatin dengan keadaan tersebut. Ada juga sesetengah masyarakat lebih selesa menggunakan perkataan bus stop sama ada untuk menunjukkan perhentian bas atau stesen bas. Perhentian bas bermaksud tempat orang awam menunggu bas yang terdapat di tepi-tepi jalan raya manakala stesen bas adalah bangunan perhentian untuk bas. 

Situasi 35 (Jumaat, 11/3/11)

                        Kacang Kelisa @ Kacang Botol

Assalamualaikum..

Hari ini saya bersama empat orang rakan iaitu Linda, Laila, Alia dan Hanim pergi ke Proton City untuk bersiar-siar sambil menenangkan fikiran. Apabila tiba waktu tengah hari, kami singgah makan di salah sebuah kedai makan yang berhampiran. Selepas mengambil lauk yang diingini, saya memilih beberapa jenis ulaman yang terdapat di situ sebagai menu tambahan. Saya menyuruh seorang rakan yang berasal dari Pahang iaitu Alia untuk mengambilnya kerana tangan saya penuh dengan barang. Situasinya dapat dilihat seperti di bawah ini:

Saya    : Alia, tolong ambilkan kacang kelisa dengan timun. Tangan saya penuhla.
Alia     : Haaa...kacang kelisa? Apa tu? Tak pernah dengar pun...
Saya    : Kacang kelisa laa...tu yang sebelah kacang panjang.
Alia     : Ish...tu kacang botol laa..
Saya    : Saya panggil kacang kelisa. Bukan kacang botol.

Selepas itu, barulah mereka mengetahui bahawa kacang kelisa itu merupakan kacang botol. Bukan sahaja masyarakat dari negeri Pahang yang menggunakan kacang botol untuk kacang kelisa malah masyarakat dari negeri Kelantan, Terengganu dan beberapa negeri lain lagi turut menggunakan perkataan yang sama. Berdasarkan situasi di atas, jelaslah bahawa terdapat perbezaan bagi nama ulam yang digemari ramai itu dalam masyarakat kita.


Situasi 34 (Khamis, 10/3/11)

                              Notis!


Assalamualaikum....

Hari ini saya akan mengulas sedikit mengenai gambar di atas. Semasa menunggu seorang rakan untuk pergi ke kuliah, saya terpandang satu notis yang baru dilekatkan pada dinding rumah sewa kami lalu membacanya. Saya mendapati terdapat sedikit kesalahan dalam notis tersebut iaitu percampuran bahasa Inggeris dalam ayat bahasa Melayu. Perkataan tersebut boleh dilihat menerusi gambar di atas iaitu ’burn’. Merujuk kamus bahasa Inggeris, perkataan ’burn’ bermaksud terbakar. Namun, perkataan ’burn’ dalam ayat di atas bermaksud hapuskan, lenyapkan atau tidak akan dikembalikan.

Hal ini berlaku mungkin disebabkan pihak berkenaan tidak dapat mencari perkataan dalam bahasa Melayu yang bersesuaian untuk menggantikan perkataan ’burn’. Penggunaan bahasa rojak dalam notis tersebut merupakan salah satu punca pencemaran bahasa. Kini, kita boleh melihat banyak faktor yang menyumbang kepada pencemaran bahasa dan salah satunya adalah melalui penulisan sama ada berbentuk formal atau tidak formal. Pencemaran bahasa ini bukan sahaja dapat melemahkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat di Malaysia malah dapat merendahkan taraf bahasa Melayu itu sendiri.

Oleh itu, sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap bahasa kebangsaan kita, haruslah berganding bahu untuk menghapuskan penggunaan bahasa rojak dalam penulisan bahasa Melayu.

Selasa, 15 Mac 2011

Situasi 33 (Rabu, 9/3/11)

                           Asap Rokok


Assalamualaikum.......

Hari ini saya mengajak beberapa orang rakan keluar makan bersama disebabkan tiada kuliah waktu petang. Ketika sedang asyik bersembang, kami diganggu oleh kepulan asap rokok yang datangnya dari meja sebelah yang diduduki oleh dua orang remaja lelaki yang berusia dalam belasan tahun. Rakan saya telah menegur remaja terbabit dengan baik namun dibalasnya dengan tidak sopan. Situasi tersebut adalah seperti di bawah:

Rakan   :Minta maaf adik, boleh tak merokok kat belakang sana?
Remaja :Laa..bukannya salah pun merokok kat sini. Tauke kedai pun tak kata apa. Kenapa korang plak nak sibuk?
Rakan    : Tidak tahu hormat orang langsung

Kemudian, rakan saya terus berlalu tanpa mempedulikan mereka. Kami terpaksa berpindah ke meja lain kerana tidak tahan dengan bau asap rokok tersebut. Sikap dan penggunaan bahasa oleh remaja lelaki tersebut jelas tidak sopan dan boleh dikatakan sebagai ’kurang ajar’. Hal ini demikian kerana sikapnya yang tidak hormat kepada kami yang lebih tua daripada mereka. Mereka seharusnya menggunakan bahasa yang sopan jika bercakap dengan orang yang lebih dewasa supaya dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan atau menimbulkan kemarahan orang lain.

Situasi 32 (Selasa, 8/3/11)

                                 Kejadian di Klinik

Assalamualaikum...

Hari ini saya dan seorang orang rakan pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan kerana kurang sihat. Setelah selesai pemeriksaan, kami menuju ke pintu keluar untuk pulang tetapi hujan yang lebat menyebabkan kami berhenti di hadapan pintu tersebut untuk mengambil payung dalam beg. Tiba-tiba datang seorang wanita dari arah belakang dan menengking ke arah kami dengan mengatakan ”don’t block the door ok! Kami yang terkejut terus bergerak ke tempat lain untuk memberi laluan kepadanya. Wanita tersebut langsung tidak memandang ke arah kami sebaliknya terus berjalan dengan muka yang masam sambil berkata ”Owh rain!

Saya hairan dengan sikap sesetengah masyarakat yang langsung tidak mempunyai kesantunan dalam berbahasa tambahan pula individu tersebut ialah orang Melayu. Ke mana hilangnya jati diri mereka sebagai orang Melayu yang cintakan bahasa Melayu? Sudah lenyapkah nilai kesopanan dalam jiwa mereka? Salahkan menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi harian? Sebagai orang yang lebih dewasa, seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada golongan muda. Penggunaan bahasa yang kasar akan membuatkan diri kita tidak dihormati oleh masyarakat. Oleh itu, kita seharusnya menerapkan nilai-nilai kesantunan berbahasa dalam diri supaya sentiasa disenangi oleh orang sekeliling.





Situasi 31 ( Isnin, 7/3/11)

                       'To let vs Toilet'

Assalamualaikum….

Hari ini saya mengikut rakan saya pergi Pasaraya Billion untuk membeli sedikit barang keperluan harian. Semasa dalam perjalanan pulang, saya terpandang satu papan tanda yang telah membuatkan saya tiba-tiba teringat kisah lucu tentangnya. Papan tanda yang dimaksudkan saya itu ialah papan tanda to let yang bermaksud untuk disewa. Cerita yang berlaku di sebalik papan tanda ini berlaku ketika saya berada di sekolah menengah. Pada masa itu saya bersama rakan sekelas mengikuti lawatan sambil belajar di Pulau Pinang. Ketika sedang berjalan di deretan kedai yang menjual makanan, salah seorang rakan saya tiba-tiba datang mengajak saya untuk ke suatu tempat tanpa memberitahu akan hal sebenarnya. Melihat keadaannya yang tergesa-gesa itu, saya terus mengikut tanpa banyak soal. Apabila sampai di situ, didapati pintu bilik bangunan itu berkunci lalu rakan saya membebel dengan mengatakan:

Rakan: Ishh..ada tandas kunci. Kalau macam ni baik tak payah buat tandas!
Saya   : Mana ada tandas dekat sini. Hang ni pening ka?
Rakan: Tue yang papan tanda atas tu tulis toilet watpa?
Saya   :Laa...tu bukan toilet..to let la...untuk disewa. Tu la tak habaq awai nak pi mana. Tau ajak ja. Aku ingat nak bua tapa kat sini.
Rakan : Sory,..mana aku tau. Aku ingat dia tulis toilet.

Berdasarkan situasi di atas, jelas menunjukkan bahawa terdapat kekeliruan antara perkataan to let dan toilet. Situasi tersebut berlaku disebabkan papan tanda ’to let’ yang ditulis agak rapat sehingga mengelirukan orang ramai terutamanya masyarakat Melayu yang tidak faham bahasa Inggeris. Mereka akan beranggapan to let itu sebagai toilet kerana perkataan toilet itu sememangnya sudah sebati dalam kehidupan kita. Hal ini demikian kerana kebanyakan tandas yang ada di Malaysia ini sama ada di kawasan rehat atau di pusat membeli belah, pasti ditulisnya dalam bahasa Inggeris iaitu ’toilet’. Oleh itu, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi, tidak salah sekiranya pihak yang berkenaan menggunakan papan tanda to let dan toilet itu dalam bahasa Melayu.


Isnin, 14 Mac 2011

Situasi 30 ( Sabtu, 5/3/11)

                    Penggunaan Gelaran yang Salah!


Situasi yang saya akan ceritakan ini walaupun agak memalukan namun boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua supaya lebih berhati-hati ketika berhadapan dengan keadaan yang sama. Ceritanya bermula apabila saya bersama beberapa orang rakan menaiki teksi untuk pergi pasar malam Tanjong Malim. Pemandu teksi tersebut berbangsa India. Semasa berada di dalam teksi tersebut, kami berbual dengan pemandu itu dengan membahasakan diri pemandu teksi itu sebagai pak cik.  Kemudian, pemandu teksi itu memberitahu kami bahawa dia baru berumur 28 tahun. Kami beranggapan bahawa umurnya sudah tua disebabkan faktor badannya yang agak berisi dan warna kulitnya yang gelap. Setelah mendengar teguran itu, baru kami sedar bahawa pemandu teksi itu masih muda. Kami terus memohon maaf daripadanya atas kecuaian tersebut. Contoh situasi tersebut adalah seperti berikut:

Rakan: Kami nak pergi pasar malam. Nanti tolong berhenti dekat ’Maybank’ yer pak cik.
Pemandu teksi: Saya muda lagi..tak kan awak panggil saya pak cik?
Rakan: Oo..kami minta maaf banyak-banyak. Kami tak perasan tadi.
Saya: Kalau orang India yang umur 28 ni, kami kena panggil apa ye? Abang juga ka?
Pemandu teksi: Yer..sama la dengan orang Melayu.

Kami berasa sangat bersalah kerana tidak prihatin terhadap keadaan tersebut. Oleh itu, sebagai pengajarannya, kita perlulah prihatin dengan orang yang berada di sekeliling kita sebelum menyapa atau bercakap dengannya supaya tidak menyinggung perasaan mereka jika tersilap menggunakan gelaran. Selain itu, kita juga mesti berhati-hati dalam menggunakan bahasa agar dapat diterima dengan baik oleh mereka yang mendengarnya.


Situasi 29 (4/3/11)

                                 Kekeliruan dalam Notis!


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian

Situasi yang saya akan ceritakan hari ini adalah berdasarkan gambar notis di atas. Penggunaan ayat dalam notis tersebut jika dibaca sepintas lalu memang tidak perasan akan kesalahannya. Namun, jika dibaca dengan teliti kita akan mengetahui kesalahan yang terdapat di dalamnya. Antara kesalahan yang terdapat dalam kedua-dua notis tersebut adalah berkaitan penggunaan kata terbitan berawalan di- dan kata sendi nama di- iaitu dikawasan dan di rantai.

Berdasarkan contoh tersebut jelas menunjukkan bahawa penulis keliru dengan fungsi kata terbitan berawalan di- dan kata sendi nama di-. Hal ini demikian kerana penulis telah menukar fungsi perkataan tersebut yang dapat dilihat pada notis di atas. Kata sendi nama di- digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Sepatutnya perkataan dikawasan itu ditulis terpisah daripada kata nama yang mengikutinya itu kerana ia menunjukkan tempat. Misalnya di kawasan.

Bagi perkataan di rantai yang terdapat dalam notis di atas salah disebabkan penulis telah memisahkan imbuhan awalan itu dengan kata nama rantai yang sepatutnya perlu digabungkan. Imbuhan ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat, iaitu harus diimbuhkan pada bentuk yang lain yang merupakan kata dasar. Awalan di- selalunya wujud dalam kata kerja terbitan yang dikenali sebagai kata terbitan berawalan. Oleh itu, perkataan di rantai itu perlu ditulis dekat iaitu ’dirantai’ kerana ia telah menjadi kata kerja setelah diletakkan imbuhan di-.

Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa masih terdapat lagi segelintir masyarakat yang tidak tahu membezakan penggunaan kata terbitan berawalan di- dan kata sendi nama di- dalam penulisan mereka.

Situasi 28 (Khamis, 3/3/11)

                        Situasi di kaunter ’Teko Emas’                     
                                 
Assalamualaikum kepada pembaca yang setia...
Semoga sihat sejahtera di samping rakan-rakan dan keluarga tercinta.

Siapa yang pernah menjamu selera di Restoran Teko Emas? Saya percaya hampir keseluruhan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pernah menjamu selera di restoran tersebut terutamanya bagi pelajar Pendidikan Bahasa Melayu. Bagi mereka yang tidak pernah mengunjungi restoran tersebut, bolehlah mula mengunjunginya kerana makanan di situ sedap-sedap belaka.

Perkara yang saya akan ceritakan di sini adalah mengenai penggunaan penjodoh bilangan yang salah oleh peniaga restoran tersebut. Situasi tersebut berlaku ketika saya membayar makanan di kaunter. Ayat-ayat yang diujarkan adalah seperti di bawah:

Peniaga: Nasi putih saja ke?
Saya: Tak lah..ada lauk ayam dengan sambal udang.
Peniaga: Owh..ayam seekor, udang tiga ekor (sambil membuka polistirena untuk mengira harga).
Saya: Bukan ayam seekor. Seketul laa..
Peniaga: Sama jela...

Selepas mendengar jawapan daripada peniaga itu, saya percaya bahawa dia tidak tahu menggunakan penjodoh bilangan yang sesuai bagi ayam goreng itu. Penjodoh bilangan yang sesuai bagi ayam goreng ialah ‘ketul’. Penggunaan penjodoh bilangan ‘seekor’ oleh peniaga itu salah kerana ‘seekor’ digunakan untuk ayam yang belum dipotong lagi. Walau apa pun taraf hidup seseorang itu, dia seharusnya tahu menggunakan penjodoh bilangan yang betul kerana perkara itu adalah asas dalam percakapan seharian kita. Hal ini bukan sahaja memberikan makna yang salah malah boleh mengelirukan bangsa lain yang baru belajar bahasa Melayu jika didengari oleh mereka. Oleh itu, kita seharusnya peka terhadap masalah ini dan berusaha untuk menanganinya dengan baik.

Situasi 27 (Rabu, 2/3/11)

                            Supit??

Assalamualaikum pembaca sekalian...
Semoga ceria-ceria selalu di samping blog anda.

Hari ini saya mendapat satu perkataan baru dalam dialek Kelantan iaitu ’supit’. Menurut masyarakat di negeri tersebut, ’supit’ bermaksud plastik. Pada mulanya saya tidak memahami apa yang diujarkan oleh rakan serumah yang berasal dari Kelantan itu. Namun, setelah diterangkan olehnya barulah saya memahami bahawa ‘supit’ itu ialah plastik. Saya beranggapan bahawa ‘supit’ itu ialah ‘sumpit’ yang diperbuat daripada buluh untuk menyumpit binatang seperti tupai, burung dan sebagainya. Situasi yang berlaku semasa rakan serumah menggunakan perkataan ‘supit’ adalah seperti berikut:

   Rakan serumah: Tolong ambil ‘supit’ jap. Nak buang sisa makanan ni.
   Saya: ’Supit’??? Apa tu??
   Rakan serumah: Lorh....’supit’ pun tak tahu ke? Plastik laa....
   Saya: Oo..yaka?? Saya memang tak pernah tahu pun sebelum ni.

Kini, baru saya tahu bahawa supit itu plastik. Sebelum ini saya memang tidak tahu perkataan supit yang dimaksudkan oleh orang Kelantan itu adalah plastik. Perkataan ini telah memberikan saya satu pengetahuan baru yang akan dikongsikan bersama anda semua dan rakan-rakan saya serta keluarga di Perlis. Saya percaya bahawa mereka juga tidak mengetahui akan maksud perkataan ’supit’ dalam dialek Kelantan itu. Mungkin mereka akan beranggapan seperti saya bahawa ’supit’ itu merupakan sumpit seperti mana Kamus Dewan yang turut menerangkan maksud supit sebagai sumpit.




Situasi 26 (Selasa, 1/3/11)

                           Penggunaan Bahasa Slanga


Hari ini saya akan menceritakan satu situasi yang berkaitan dengan bahasa slanga. Bahasa slanga ini merupakan variasi bahasa yang digunakan oleh golongan remaja. Selain itu, bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa kutu atau bahasa rocker.

Sudah banyak kali saya mendengar para remaja di sekeliling bercakap menggunakan bahasa slanga namun terdapat satu ayat yang menarik minat saya untuk dikongsi dengan anda semua. Contoh ayat tersebut adalah seperti di bawah ini:

Remaja 1: Bro...lu ‘kencing’ sama gua. Lu cakap nak kenalkan gua awek cun.
Remaja 2: Ala...lex arr brader…nanti I bawak laa...

Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘kencing’ berdasarkan ayat di atas? Perkataan ‘kencing’ di situ bermaksud ‘tipu’. Pada mulanya saya juga tidak mengetahui maksud tersebut. Namun, setelah saya bertanya kepada seorang rakan saya semasa di sekolah menengah, barulah saya mendapat jawapannya. Saya juga selalu mendengar perkataan lex daripada anak-anak remaja di kampung. Perkataan lex ini merupakan singkatan perkataan relax yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris.

Bahasa slanga ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Hal ini bukan sahaja dapat didengar secara langsung daripada rakan-rakan malah terdapat juga di dalam filem-filem Melayu seperti filem ‘Bohsia’, ‘Rempit’ dan ‘KL Drift’. Sebenarnya, bahasa ini tidak sesuai digunakan oleh anak-anak remaja kita kerana perkataannya yang kasar dan terdapat percampuran bahasa dalam setiap ayat yang dituturkan.



Ahad, 13 Mac 2011

Situasi 25 (Sabtu, 26/2/11)

Kurangnya Kesedaran Sivik!!!


Assalamualaikum…….

Situasi saya pada hari ini adalah berkenaan dengan sikap segelintir mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tiada kesedaran sivik dengan sesuka hati mereka membuang sampah di merata-rata tempat. Hal ini dapat dibuktikan melalui gambar yang telah saya ambil ketika melalui jalan tersebut. Ketika itu saya bersama beberapa orang rakan lain sedang menuju ke perhentian bas Kolej Ungku Omar (KUO) untuk pergi ke pekan. Kami melihat sendiri kelakuan dua orang pelajar yang membuang sampah di tempat berkenaan. Situasinya adalah seperti berikut:

Pelajar A: Eh, buang sini jela bekas air tu...
Pelajar B: Tak pe ke buang kat sini?
Pelajar A: Boleh jer. Tengok tu sampah penuh! Nanti adala orang yang datang kutipnye..
 
Situasi tersebut berlaku disebabkan adanya longgokan sampah yang sudah bertimbun di tepi jalan itu. Mungkin pelajar berkenaan menganggap tempat tersebut sebagai tempat membuang sampah atau memang sudah perangainya yang kurang kesedaran sivik. Berdasarkan percakapan pelajar A, jelas menunjukkan dia seorang pelajar yang tidak prihatin dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat sekeliling.

Sebagai graduan UPSI yang akan menjadi pendidik anak bangsa seharusnya mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dalam diri mereka. Sikap membuang sampah di merata-rata tempat itu adalah tidak wajar dan merupakan suatu perbuatan yang tidak bermoral. Jika seseorang itu bermoral, mereka akan membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan dan mempunyai perasaan belas kasihan terhadap pekerja-pekerja yang terpaksa mengutip sampah yang bersepah di tepi-tepi jalan itu.

Oleh itu, saya berharap agar para mahasiswa dan mahasiswi UPSI mempunyai rasa tanggungjawab dalam hal seperti ini. Setiap perbuatan yang dilakukan seseorang itu akan mencerminkan peribadinya. Jadi, berusahalah untuk mengubah diri anda menjadi seorang insan yang bertanggungjawab terhadap perkara yang dilakukan supaya setiap perbuatan itu mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa.

Situasi 24 (Jumaat, 25/2/11)

                                    Ucapan Hari Jadi!


Assalamualaikum semua……..
Semoga sihat dan bertambah ceria dengan kehidupan anda.
Hari ini genaplah umur saya 23 tahun. Masa berlalu begitu cepat sekali. Tidak sangka sama sekali bahawa diri ini sudah dewasa. Di kesempatan ini, saya berharap agar segala yang diimpikan selama ini akan menjadi kenyataan. Insyaallah.......

Saya berasa gembira setiap kali tibanya hari jadi kerana ramai rakan-rakan dan juga ahli keluarga terdekat yang mengucapkannya kepada saya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah mengucapkan selamat dan memberikan hadiah kepada saya semalam dan juga hari ini.

Perkara yang ingin dinyatakan di sini ialah berkaitan ucapan hari jadi yang diberikan oleh masyarakat kita hari ini. Saya perhatikan ucapan yang diberikan oleh rakan-rakan sama ada melalui lisan atau tulisan hampir kesemuanya dalam bahasa Inggeris iaitu Happy Birthday.  Namun pada ayat belakangnya ditulis dalam bahasa Melayu pula. Contohnya:
            Pengucap A: Happy Birthday! Moga panjang umur dan murah rezeki.

Hanya ada beberapa orang sahaja yang mengucapkannya dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Situasi ini bukan sahaja berlaku kepada diri saya, malah saya percaya semua orang pernah melaluinya. Ucapan tersebut seperti sudah sebati dengan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Masyarakat kita lebih suka menggunakan ucapan hari jadi dalam bahasa Inggeris. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh bahasa asing itu cukup menebal dalam diri masyakakat kita hari ini sehingga dalam setiap pertuturan mereka pasti ada percampuran bahasa misalnya seperti situasi di atas.. Mereka tidak sedar bahawa perkara tersebut adalah salah satu daripada pencemaran bahasa. Tidak ada salahnya jika kita menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam ucapan hari jadi ini kerana sedikit sebanyak dapat mengangkat nilai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Ingatlah wahai anak-anak Melayu sekalian bahawa tugas mendaulatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab kita semua! Bahasa Jiwa Bangsa!

Situasi 23 ( Khamis, 24/2/11)

Segak: Lelaki @ Perempuan???


Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia!
Apa khabar rakan-rakan seperjuangan?? Semoga sihat sejahtera di samping insan-insan tersayang.
Hari ini saya ada suatu cerita yang agak menarik untuk dikongsi bersama anda semua. Situasi ini berlaku di kampus ketika saya bertemu seorang rakan sekolah lama iaitu Roslinda yang turut berasal dari Perlis. Oleh sebab sudah lama tidak berjumpa, kami bercerita panjang daripada satu gosip ke gosip yang lain tanpa menghiraukan orang sekeliling yang memandang. Hal ini mungkin disebabkan kami menggunakan dialek utara ketika berbual.
Salah satu topik yang menarik perhatian ialah mengenai penggunaan perkataan ’segak’. Topik ini juga dipersoalkan oleh  seorang rakan saya iaitu Hasmah yang turut berada di situ. Contoh situasi tersebut adalah seperti berikut:

     Saya: ’Segak’ tak bini si Hafiz tu?
     Linda: Segak la jugak! Padan la depa dua tu. Sama-sama tinggi.
     Hasmah: Segak tu bukan untuk lelaki ke??Kenapa gunakan untuk perempuan?

Setelah mendengar pertanyaan Hasmah itu, kami terus menerangkan kepadanya bahawa kebanyakan orang utara menggunakan perkataan ’segak’ untuk menggambarkan perempuan yang cantik dan lawa. Selain itu, terdapat juga orang utara yang menggunakan perkataan 'segak' untuk lelaki atau perempuan. Namun, bagi mereka, perkataan segak hanya digunakan untuk lelaki sahaja. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan segak bermaksud bergaya, kacak dan tampan.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan perkataan ’segak’ dalam dialek utara salah dari segi semantik dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana perkataan ’segak’ merujuk kepada perihal lelaki yang bergaya dan tampan bukannya merujuk kepada perempuan yang cantik.


Situasi 22 (Rabu, 23/2/11)

 Sure Heboh vs Jom Heboh



Assalamualaikum dan salam sejahtera…
Situasi yang akan saya ceritakan hari ini adalah mengenai penggunaan perkataan ‘sure heboh’ oleh TV3 yang hangat diperkatakan pada tahun 2004. Isu ini saya perolehi ketika membaca satu keratan akhbar di perpustakaan. Saya tertarik dengan isu ini kerana perkataan tersebut merupakan salah satu faktor pencemaran bahasa.

Hal ini telah dibangkitkan oleh Ketua Bahagian Perkamusan DBP iaitu, Noresah Baharom pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (Mesyuarat Jaksa) Bil 1/2005. Isu hangat ini juga telah menimbulkan keresahan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku badan yang menggerakkan Mesyuarat Jaksa yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu.
Kebimbangan DBP terhadap penggunaan perkataan yang menggabungkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris nyata berasas kerana kecenderungan ruangan ini semakin berleluasa sehingga lahir beberapa perkataan sedemikian. Oleh itu, pihak DBP telah mengambil satu langkah untuk mengatasi masalah tersebut daripada terus berleluasa dengan menegur pihak terbabit secara profesional.

Menurut keratan akhbar yang saya baca itu, teguran berkenaan disambut Pengurus Kawal Selia TV3, Sistem Televisyen Malaysia (TV3), Laili Hanim Mahmood, bahawa ’sure heboh’ hanya penjenamaan dan bertujuan menarik perhatian serta mendapat sokongan khalayak untuk program stesen terbabit. Situasi tersebut jelas memberi gambaran bahawa bahagian penjenamaan sektor swasta kini dikuasai individu lemah penguasaan bahasa Melayu atau lulusan luar negara selain persoalan jati diri dan maruah bahasa tidak lagi menebal dalam diri.

Kini tidak ramai kakitangan sektor swasta menyedari hakikat kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152. Namun begitu, kita patut berbangga kerana perkataan ’sure heboh’ yang digunakan oleh TV3 suatu ketika dahulu telah ditukar kepada perkataan bahasa Melayu iaitu ’jom heboh’. Hal ini bukan sahaja dapat membibitkan rasa sayang bahasa dalam kalangan masyarakat malah dapat mendaulatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.


Rabu, 9 Mac 2011

Situasi 21 (Selasa, 22/2/11)

Apa Itu Sakai????

                                  
Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Pernahkah anda mendengar perkataan ‘sakai’?? Perkataan ini telah menjadi isu yang agak hangat sewaktu saya menyebutnya di hadapan rakan-rakan di dalam bilik kuliah semalam. Hal ini demikian kerana terdapat perbezaan dari segi maknanya. Di sini, saya berjaya mengungkap beberapa maksud perkataan ‘sakai’ daripada beberapa orang rakan dari negeri Kedah, Pahang dan Johor.

Bagi masyarakat utara sama ada di Perlis atau Kedah, perkataan ’sakai’ merupakan memukul seseorang atau binatang seperti ular dan sebagainya. Bagi masyarakat di negeri Pahang pula, ’sakai’ merujuk kepada sikap seseorang yang tidak disukai manakala bagi masyarakat di Johor, ’sakai’ bermaksud seseorang yang berpakaian selekeh. Menurut rakan dari Johor itu, perkataan ’sakai’ yang merujuk kepada selekeh ini wujud daripada nama suatu kaum daripada orang asli iaitu Sakai. Oleh itu, mereka menggambarkan orang yang selekeh itu seperti orang Sakai kerana kebanyakan orang asli berpakaian selekeh dan ada juga tidak berpakaian.

Penjelasan lanjut tentang perkataan ’sakai’ ini boleh dilihat pada contoh ayat di bawah ini:
Penutur Kedah: ”Tolong ambil buluh di tepi rumah! Aku nak sakai ular senduk itu.
Penutur Pahang: Kau ni sakai arr...meluat aku tengok..
Penutur Johor: Dia kelihatan sakai sekali ketika pergi sekolah.

Berdasarkan contoh ayat di atas, jelas terdapat perbezaan makna bagi perkataan sakai mengikut negeri Kedah, Pahang dan juga Johor.. Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang unik dan amat menarik jika dikaji dengan lebih mendalam terutamanya mengenai dialek yang mempunyai ejaan dan sebutan yang sama tetapi berlainan maknanya.

Situasi 20 (Ahad 20/2/11)

Situasi di Perhentian Bas



Assalamualaikum w.b.t….
Diharapkan semua ahli blog Sosiolinguistik ini sihat sejahtera dan semakin aktif memenuhkan situasi di dalam blog masing-masing.

Hari ini saya bersama rakan-rakan telah pergi membuat tugasan untuk subjek Kesusasteraan Melayu dalam Pembinaan Modal Insan di Pusat OKU Kraf, Kuala Selangor. Kami dikehendaki menemuramah responden bagi mendapatkan ciri-ciri modal insan seperti yang dikehendaki oleh pensyarah tersebut. Namun, bukan perkara tersebut yang ingin diceritakan di sini tetapi mengenai satu situasi berkaitan bahasa yang berlaku ketika kami tersesat jalan untuk menuju ke Pusat OKU Kraf itu.

Ceritanya bermula apabila kami tiba di Kuala Selangor tetapi tidak tahu arah mana yang perlu dituju untuk pergi ke Pusat OKU Kraf setelah dua kali tersesat jalan. Kami tertanya-tanya sesama sendiri mengenai arah yang betul namun tiada jawapan yang pasti. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk bertanya orang awam yang berada di sekitar jalan raya itu. Kami terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan semata-mata untuk bertanya arah jalan yang hendak dituju. Salah seorang rakan saya telah bertanya kepada seorang pak cik berbangsa India yang sedang membaca surat khabar di perhentian bas mengenai arah jalan ke pusat itu. Situasinya adalah seperti berikut:

     Rakan: Boleh tumpang tanya? Di mana Pusat OKU Kaf?
     Pak Cik: Ooo...you go straight..see the traffic light at the junction and turn right. 
     That place is behind the IPD Kuala Selangor.
     Rakan: Ok.terima kasih.

Berdasarkan situasi di atas, jelas bahawa tidak semua masyarakat di Malaysia mahu atau suka menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan seharian mereka. Kemungkinan pertama yang berlaku dalam situasi itu ialah mengenai perbezaan kaum yang menyebabkan pak cik itu berbahasa Inggeris. Selalunya masyarakat India gemar berbahasa Inggeris dalam percakapan mereka. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka akan menggunakan bahasa itu dengan sesiapa sahaja. Kemungkinan kedua ialah disebabkan dia tidak fasih berbahasa Melayu. 


Secara tuntasnya, seseorang individu itu seharusnya tahu menggunakan bahasa Melayu dan mesti menjawab dalam bahasa Melayu jika soalan yang ditanya itu berbahasa Melayu. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Oleh itu, masyarakat daripada bangsa lain di Malaysia juga perlu menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan mereka terutamanya apabila berkomunikasi dengan orang Melayu. 

Rabu, 23 Februari 2011

Situasi 19, (Sabtu, 19/2/2011)

Kejadian di Kedai Makan

Assalamualaikum semua................
Semoga ceria-ceria selalu.......

Perkara yang ingin dikongsikan di sini ialah mengenai situasi di sebuah kedai makan. Hari ini sepupu saya dari Pulau Pinang datang ke Tanjong Malim untuk melawat saya di Bahtera Arked. Setibanya di sini, dia terus mengajak saya keluar makan. Kami memilih kedai makan di kawasan Tanjong Malim juga kerana hari sudah malam. Apabila sampai di kedai makan tersebut, kami terus memesan makanan yang dipilih.

Apa yang saya ingin ceritakan ialah mengenai sikap beberapa orang pekerja di situ yang tidak mesra dengan pelanggan. Saya perhatikan mereka langsung tidak senyum pada pelanggan yang datang. Cara percakapan juga agak kasar. Hal ini demikian kerana saya ada terdengar salah seorang daripada mereka merungut tentang karenah pelanggan. Ayat yang diujarkannya ialah:

    Pekerja 1: Nak oder pun lambat!!.Ingat kite ni xde keje lain ke??...menyampah betul!!
    (sambil menghempaskan buku menu di atas kaunter).

Saya bersama sepupu dan beberapa pelanggan yang lain terkejut dengan sikap pekerja itu yang bercakap dengan nada yang agak kuat. Sikapnya yang boleh dikatakan kurang sopan itu telah membuatkan kami tidak berselera untuk makan. Saya berasa kecewa kerana tiada seorang pun daripada rakan-rakan sekerjanya yang menegur sikapnya. Mungkin dia anak tauke kedai itu agaknya!

Selepas membayar makanan, kami terus pulang ke rumah. Dalam perjalan pulang, saya asyik terfikir tentang kejadian tersebut. Bagi saya, seorang pekerja di kedai makan seharusnya menghormati dan menjaga hati pelanggan mereka supaya kedai tersebut sentiasa laris. Jika tidak pandai menjaga hati pelanggan, tidak ada sesiapa yang akan pergi atau makan di kedai tersebut.

Hal ini bukan sahaja dapat menjejaskan nama baik kedai malah akan merugikan kedai itu kerana tiada pelanggan. Saya berharap semoga pekerja berkenaan dapat mengubah sikap kurang sopan itu ke arah sikap yang lebih positif. Ingat...Tanpa pelanggan, rugilah kedai anda!

Ahad, 20 Februari 2011

Situasi 18 (Khamis, 17/2/2011)

                                              Pembentangan


                                                Assalamualaikum..........
                                        Semoga anda semua sihat sejahtera......

Hari ini kelas pengayaan diri bermula pukul 8.30 pagi. Apabila kami sampai di kelas, beberapa orang pelajar sedang membentang tugasan mereka. Hal ini demikian kerana kami terlewat masuk lebih kurang 10 minit.

Sewaktu melangkah masuk saya terdengar salah seorang daripada pelajar yang membentang itu menyebut perkataan "dari masa ke semasa". Ayat yang disebut itu jelas sekali salah dari aspek tatabahasa. Walaupun pelajar tersebut bukan pelajar Pendidikan Bahasa Melayu, dia seharusnya menggunakan ayat yang betul ketika membentang di hadapan kelas. Perkara ini boleh menjadi ikutan bagi pelajar lain jika tidak diambil perhatian.

Merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, binaan frasa sendi nama yang mengandungi frasa nama dengan bentuk se- mempunyai peraturan tertentu. Binaan yang menggunakan kata sendi nama dari dan ke tidak membenarkan pengguguran bentuk se- secara berasingan. Sekiranya pengguguran se- dilakukan pada satu bahagian frasa sendi nama, maka pengguguran bentuk yang sama hendaklah dilakukan juga pada frasa nama yang kedua untuk keseimbangan.

                    Contohnya:1) dari semasa ke semasa
                                     2) dari masa ke masa

Situasi 17 (Selasa, 15/2/2011)

                             Kesalahan Dalam Ucapan Radio!
                                      
                                        
                                             Assalamualaikum....
            Apa khabar semua umat muslimimin dan rakan-rakan seperjuangan??
                             Adakah masih setia dengan blog???

Hari ini merupakan hari cuti sempena 'Maulidur Rasul'. Di sini saya ingin mengucapkan "Selamat Menyambut Maulidur Rasul" (1432/2011). Semoga kita mengasihi dan dikasihi junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Perkara yang ingin diceritakan di sini bukanlah mengenai Maulidur Rasul tetapi mengenai kesalahan penggunaan tatabahasa dalam pengucapan. Kesalahan ini saya dengar melalui radio. Oleh sebab hari ini cuti sempena Maulidur Rasul, ramai rakyat Malaysia dari serata negeri yang menghantar ucapan dan menelefon stesen radio untuk memberi ucapan 'Maulidur Rasul' kepada rakan-rakan dan sanak saudara.

Saya dapati salah seorang daripada pemanggil itu telah memberi ucapan dengan berkata seperti berikut:
"Selamat Menyambut Maulidur Rasul kepada rakan-rakan dan..........................Semoga kita sentiasa berselawat ke atasnya. Dari Nurul Najwa

Kesalahan yang terdapat dalam ucapan di atas ialah pada kata sendi nama 'dari'. Merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Ciri ini membezakannya daripada kata sendi nama 'daripada' yang hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber, atau unsur perbandingan atau perbezaan.

Kesimpulannya, perkataan 'dari' tidak boleh diikuti dengan kata nama yang merujuk kepada manusia. Kesalahan ini sering berlaku dalam masyarakat sekeliling kita. Oleh itu, sebagai rakyat yang cintakan bahasa Melayu, kita haruslah lebih berhati-hati dalam mengujarkan sesuatu perkataan.

Situsi 16 (Isnin, 14/2/2011)

                      Kekeliruan Antara Huruf 'm' dan 'n'.......



                                   Assalamualaikum dan salam sejahtera...
                                 Bagaimana keadaan rakan-rakan semua??
                    Semoga sihat dan masih setia dengan blog Sosiolinguistik ini...

Hari ini saya ingin berkongsi cerita tentang sehelai risalah. Risalah ini saya temui di dalam peti surat rumah sewa saya di Bahtera Arked semasa pulang dari kuliah. Perkara yang ingin dihuraikan di sini ialah mengenai kesalahan ejaan perkataan yang bergaris iaitu 'tampa' (tanpa) dan 'unur' (umur).

Bagi saya, hal ini terjadi disebabkan oleh kekeliruan seseorang penutur terhadap sebutan huruf 'm' dan 'n'. Selalunya mereka tidak dapat membezakan antara  huruf 'm' dan huruf 'n' dalam menulis atau membaca sesuatu ayat yang melibatkan kedua-dua huruf itu kerana bunyi sebutannya yang hampir sama. Oleh sebab mereka tidak dapat membezakan huruf-huruf tersebut, secara tidak langsung mereka akan membuat kesilapan apabila menulis. Hasilnya seperti risalah di atas. Perkataan yang sepatutnya ditulis dengan huruf 'm' digantikan dengan huruf 'n' manakala perkataan yang sepatutnya ditulis dengan huruf 'n' pula digantikan dengan huruf 'm'.

Selain itu, ada juga kesilapan ini yang berpunca daripada kekeliruan aspek percakapan. Hal ini demikian kerana perkataan 'tanpa' yang disebut sebagai 'tampa'. Bagi mereka yang tidak peka terhadap hal ini akan melakukan kesilapan dalam menulis. Contohnya, mereka akan menulis perkataan 'tanpa' seperti yang disebut iaitu 'tampa'. Walaupun perkataan 'tampa' betul dari segi sebutan namun jika dilihat dari aspek tatabahasa perkataan 'tampa' adalah salah.

Kesilapan kecil seperti ini haruslah dielakkan kerana dapat menjejaskan imej bahasa Melayu sekaligus dapat menjejaskan imej negara jika tidak dibendung dari sekarang. Oleh itu, pihak yang berkenaan seharusnya lebih peka terhadap kes ini.

Jumaat, 18 Februari 2011

Situasi 15 (Ahad, 13/2/11)

Kejadian di Pasar: Penggunaan Penjodoh Bilangan yang Salah!


Hari Sabtu merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tiada kuliah. Oleh sebab hari ini hari minggu, saya dan Siti Fairus merancang untuk memasak di rumah. Kami bangun awal pagi untuk pergi membeli sayur, ikan, ayam dan lain-lain lagi di pasar pagi Tanjong Malim. Setelah membeli sayur dan ikan, kami menuju pula ke tempat menjual ayam di bahagian hujung pasar tersebut.

Ketika sedang khusyuk melihat penjual itu memotong ayam yang dipesan oleh kami, datanglah seorang pak cik yang berumur dalam lingkungan 40-an sambil berkata kepada penjual itu :
                    " Adik, bagi pak cik ayam 5 keping."

Kami yang berada di sebelah terus memandang pak cik tersebut kerana terkejut dengan tutur katanya itu. Saya berasa hairan kerana dalam zaman moden ini masih ada lagi masyarakat yang tidak tahu menggunakan penjodoh bilangan dengan betul. Sebelum ini saya tidak pernah lagi mendengar orang menggunakan perkataan 'keping' untuk membeli ayam di pasar. Inilah kali pertama saya mendengarnya.

Penggunaan penjodoh bilangan 'keping' untuk ayam adalah salah sama sekali. Penjodoh bilangan 'keping' lebih sesuai digunakan untuk kertas, papan dan roti. Bagi penjodoh bilangan yang sesuai digunakan untuk ayam adalah 'ketul' atau 'ekor'. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'keping' bermaksud pipih dan nipis atau penjodoh bilangan bagi sesuatu yang pipih dan nipis seperti kad, kertas, papan serta sebagainya. Ketul pula bermaksud penjodoh bilangan untuk benda yang berbuku-buku manakala ekor bermaksud penjodoh bilangan untuk binatang.

Khamis, 17 Februari 2011

Situasi 14 (Sabtu, 12/2/11)

Pengaruh Korea!!!
 
Setiap hujung minggu saya pasti akan menghubungi keluarga di kampung. Hari ini saya bercakap lama dengan adik saya yang berumur 17 tahun kerana dia bertanya tentang perkara yang tidak difahaminya dalam komsas tingkatan 5. Setelah selesai saya menerangkan kepadanya, dia berkata kepada saya "kamsahabnida" dalam bahasa Korea yang bermaksud terima kasih. Bukan sahaja kepada saya, malah kepada rakan-rakannya dan saudara mara terdekat yang lain juga dia kan menyebut perkataan 'kamsahabnida' jika ingin mengucapkan terima kasih.

Saya tidak terkejut dengan keadaan sedemikian kerana adik saya sangat suka menonton filem Korea. Bukan sahaja filem dari Korea yang diminatinya malah artis-artis dan lagu-lagu Korea turut diminatinya sehingga ada lagu yang dihafal olehnya. Adik saya juga selalu membeli majalah 'e-Pop' untuk mengikuti perkembangan artis-artis yang diminatinya. Jika ingin mengetahui tentang sesuatu perkara mengenai artis atau filem dari Korea saya pasti akan bertanya kepadanya. Selain itu, adik saya juga menggunakan lagu Korea untuk nada dering telefon bimbitnya.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh dari Korea sememangnya kuat sehingga dapat mempengaruhi masyarakat di Malaysia terutamanya bagi golongan remaja. Hal ini berlaku disebabkan kemasukan filem, vcd, majalah dan sebagainya yang kian berleluasa di negara kita.

Situasi 13 (Jumaat, 11/2/11)

Satu Perkataan Pada Sebuah Kotak 


Semester ini agak sibuk bagi saya dan rakan-rakan sekuliah kerana banyak tugasan yang perlu dibuat berbanding semester lepas. Namun, saya berasa sedikit lega kerana tidak ada kuliah pada setiap hari Jumaat. Hari ini saya menghabiskan masa dengan mengemas rumah pada waktu pagi. Sewaktu mengemas di ruang tamu, saya terpandang pada sebuah kotak yang tertera di bahagian hadapannya perkataan 'Biskut Coklat Berkerim'.

Saya agak terkejut kerana sebuah syarikat pengeluaran makanan ringan di Malaysia boleh membuat kesilapan seperti ini. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lebih peka terhadap penggunaan bahasa ini terutamanya dalam pengeluaran barang-barang buatan tempatan. Jika barangan ini dieksport ke luar negara sudah pasti dapat menjejaskan imej dan kedudukan bahasa Melayu. 

Penggunaan perkataan 'kerim' adalah salah dari aspek tatabahasa kerana perkataan yang sebenar ialah 'krim' yang bermaksud cecair pekat atau bahan yang agak kental yang berlemak dan berwarna kekuning-kuningan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'krim' dapat ditakrifkan sebagai cecair pekat yang berwarna kuning keputih-putihan yang timbul di atas permukaan susu dan dijadikan sebagai makanan.