Isnin, 24 Januari 2011

Situasi 3 (Jumaat, 21/1/11)

Kerana SMS

Hari Jumaat memang hari yang lapang kerana tiada kuliah. Hari ini, saya dan pelajar bahasa Melayu di bawah subjek Sosiolinguistik telah menghadiri Seminar Sosiolinguistik di Dewan Seri Tanjong,UPSI. Seminar yang diceramahkan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan ini telah memberikan banyak pengetahuan tentang ilmu sosiolinguistik atau lebih mudah difahami sebagai kajian bahasa yang ada kaitan dengan masyarakat. Pandangan beliau terhadap pengguanaan bahasa Melayu dalam masyarakat kita hari ini telah membuatkan saya berfikir mengapa ada pihak tertentu yang masih tidak mahu menggunakan bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita dalam sesebuah pengucapan sedangkan di negara China dan Jepun, mereka masih mengekalkan bahasa mereka sendiri tidak kira dalam pengucapan formal atau tidak formal. Untuk memartabatkan bahasa Melayu, pihak-pihak atasan perlulah menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam pengucapan dan juga kehidupan seharian mereka supaya dapat dijadikan contoh yang baik kepada masyarakat.
Selain itu, pengetahuan lain yang diperolehi adalah berkaitan penggunaan 'bahasa sms' dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Tidak dapat dinafikan hampir semua individu yang menggunakan telefon bimbit akan menggunakan singkatan untuk menghantar mesej kepada rakan masing-masing. Namun, budaya ini boleh dielakkan jika mempunyai nilai kesedaran yang tinggi terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam usaha memartabatkannya. Walaupun terdapat beberapa kebaikan seperti menjimatkan masa namun tetap ada keburukannnya iaitu menyebabkan salah tanggapan terhadap mesej yang disampaikan. Bercerita mengenai salah tanggapan terhadap mesej ini telah mengingatkan saya kembali terhadap pengalaman lalu. Kejadian tersebut berlaku gara-gara menggunakan 'bahasa sms' yang betul-betul pendek. Situasinya seperti di bawah :
              Mira : hmm,..jgn lupa mai antaq buku 'stn'.
              Nora : apa? ang panggil aku 'setan' ka??
              Mira : eh..xla..bukan mcm 2..maksud aku 'sat ni' (petang nanti, lewat-lewat sikit, selepas ini) laa.
              Nora : oh..yaka..terkejut aku..hehehe
Berdasarkan dialog di atas, jelas menunjukkan bahawa bahasa sms ini boleh mendatangkan salah tanggapan atau salah faham terhadap mesej yang disampaikan oleh seseorang individu. Untuk mengelakkan hal yang sama berulang, saya sudah tidak menggunakan lagi perkataan tersebut dalam sms sehingga sekarang. Penggunaan singkatan dalam sms yang menyebabkan salah tanggapan ini bukan sahaja boleh merosakkan hubungan persahabatan malah akan memburukkan nama kita.

Situasi 2 (Rabu, 19/1/11)

Kejadian di Perpustakaan


Hari Rabu adalah hari yang tidak memenatkan kerana kuliah pada hari ini dua jam sahaja. Selepas kuliah, saya bersama dua orang rakan telah pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku. Kejadian ini berlaku ketika kami sedang sibuk memilih buku di bahagian sastera. Tiba-tiba kami terdengar bunyi buku jatuh dari rak dan terdengar perbualan beberapa orang pelajar di situ.
Pelajar 1: Time ni jugak buku ni nak jatuhnye..
Pelajar 2: Angkat jela...
Pelajar 1: Biar arrr...geram aku..dahla cari buku xjumpe..nanti adela orang yang susunkan.
Saya dan rakan-rakan terdiam mendengar perbualan mereka itu. Terdetik di hati saya, di mana letaknya rasa tanggungjawab seorang pelajar terhadap kemudahan yang disediakan dan buku yang mencurahkan ilmu kepadanya selama ini??Ke mana hilangnya nilai keperibadian seorang guru yang berhati mulia??Tidak seharusnya bakal guru yang akan mendidik generasi akan datang bersikap sedemikian. Berdasarkan percakapan tersebut, dapat dirumuskan bahawa masih ramai lagi pelajar yang menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam perbualan seharian mereka. Sebagai masyarakat teruatamaya pelajar IPT seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang betul walaupun berada dalam situasi tidak formal. Hal ini bukan sahaja dapat memartabatkan bahasa Melayu malah dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai jati diri yang utuh.

Situasi 1 (Isnin, 17/1/11)

Tragedi dalam Bas

Hari Isnin adalah hari yang penat kerana jadual kuliah padat daripada hari-hari yang lain. Tapi syukur Alhamdulillah, saya dapat juga menulis 'blog' ini walaupun agak lewat. Kejadian yang saya tulis ini berlaku ketika saya berada dalam bas sewaktu perjalanan pulang dari kuliah. Disebabkan terlalu mengantuk, saya tertidur dalam bas. Saya tidur dengan nyenyak sekali sehingga tidak sedar dompet saya terjatuh. Saya tersedar apabila bas tiba di kolej. Semasa hendak turun dari bas, saya ternampak beg duit saya berada di bawah kerusi penumpang di hadapan saya. Lalu, saya tunduk untuk mengmbilnya tanpa menyedari ada orang di belakang saya. Saya telah terlanggar orang itu sehingga menyebabkan air di tangannya tumpah dan terkena bajunya dan baju saya. Saya terus meminta maaf daripadanya, tetapi dia dengan nada yang agak marah berkata kepada saya "lain kali tengokla orang dulu...issshhh,...menyusahkanla..".Saya rasa macam hendak menangis saja masa itu tetapi terpaksa bersabar supaya air mata ini tidak mengalir di hadapan orang ramai. Saya meminta maaf sekali lagi namun dia terus pergi dengan muka yang marah. Saya tahu saya bersalah tapi saya sudah minta maaf dengan cara baik. Sepatutnya dia harus cakap elok-elok sebab perkara ini berlaku secara tidak sengaja. Bukan baju dia sahaja yang basah, baju saya pun turut basah sekali. Bermula daripada detik itu, saya telah berjanji dengan diri sendiri supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang. Daripada situasi tersebut, saya dapat rumuskan bahawa penggunaan bahasa yang kasar akan membuatkan seseorang itu tidak hormat kepada kita. Sebagai bakal guru, kita seharusnya mempunyai nilai kesabaran yang tinggi dan bertolak ansur antara satu sama lain tidak kira bangsa dan agama. Bahasa yang dituturkan melambangkan keperibadian seseorang. Masyarakat yang harmoni adalah masyarakat yang berbudi bahasa.

Assalamualaikum...

Alhamdulillah kerana saya telah berjaya membuat 'blog' untuk subjek Sosiolinguistik Melayu ini bersama rakan-rakan yang lain. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pensyarah kita iaitu Dr. Siti Saniah. Diharapkan agar tugasan ini dapat dilakukan dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Dr. Siti Saniah. Sekian, selamat maju jaya..