Jumaat, 18 Februari 2011

Situasi 15 (Ahad, 13/2/11)

Kejadian di Pasar: Penggunaan Penjodoh Bilangan yang Salah!


Hari Sabtu merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tiada kuliah. Oleh sebab hari ini hari minggu, saya dan Siti Fairus merancang untuk memasak di rumah. Kami bangun awal pagi untuk pergi membeli sayur, ikan, ayam dan lain-lain lagi di pasar pagi Tanjong Malim. Setelah membeli sayur dan ikan, kami menuju pula ke tempat menjual ayam di bahagian hujung pasar tersebut.

Ketika sedang khusyuk melihat penjual itu memotong ayam yang dipesan oleh kami, datanglah seorang pak cik yang berumur dalam lingkungan 40-an sambil berkata kepada penjual itu :
                    " Adik, bagi pak cik ayam 5 keping."

Kami yang berada di sebelah terus memandang pak cik tersebut kerana terkejut dengan tutur katanya itu. Saya berasa hairan kerana dalam zaman moden ini masih ada lagi masyarakat yang tidak tahu menggunakan penjodoh bilangan dengan betul. Sebelum ini saya tidak pernah lagi mendengar orang menggunakan perkataan 'keping' untuk membeli ayam di pasar. Inilah kali pertama saya mendengarnya.

Penggunaan penjodoh bilangan 'keping' untuk ayam adalah salah sama sekali. Penjodoh bilangan 'keping' lebih sesuai digunakan untuk kertas, papan dan roti. Bagi penjodoh bilangan yang sesuai digunakan untuk ayam adalah 'ketul' atau 'ekor'. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'keping' bermaksud pipih dan nipis atau penjodoh bilangan bagi sesuatu yang pipih dan nipis seperti kad, kertas, papan serta sebagainya. Ketul pula bermaksud penjodoh bilangan untuk benda yang berbuku-buku manakala ekor bermaksud penjodoh bilangan untuk binatang.

Khamis, 17 Februari 2011

Situasi 14 (Sabtu, 12/2/11)

Pengaruh Korea!!!
 
Setiap hujung minggu saya pasti akan menghubungi keluarga di kampung. Hari ini saya bercakap lama dengan adik saya yang berumur 17 tahun kerana dia bertanya tentang perkara yang tidak difahaminya dalam komsas tingkatan 5. Setelah selesai saya menerangkan kepadanya, dia berkata kepada saya "kamsahabnida" dalam bahasa Korea yang bermaksud terima kasih. Bukan sahaja kepada saya, malah kepada rakan-rakannya dan saudara mara terdekat yang lain juga dia kan menyebut perkataan 'kamsahabnida' jika ingin mengucapkan terima kasih.

Saya tidak terkejut dengan keadaan sedemikian kerana adik saya sangat suka menonton filem Korea. Bukan sahaja filem dari Korea yang diminatinya malah artis-artis dan lagu-lagu Korea turut diminatinya sehingga ada lagu yang dihafal olehnya. Adik saya juga selalu membeli majalah 'e-Pop' untuk mengikuti perkembangan artis-artis yang diminatinya. Jika ingin mengetahui tentang sesuatu perkara mengenai artis atau filem dari Korea saya pasti akan bertanya kepadanya. Selain itu, adik saya juga menggunakan lagu Korea untuk nada dering telefon bimbitnya.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh dari Korea sememangnya kuat sehingga dapat mempengaruhi masyarakat di Malaysia terutamanya bagi golongan remaja. Hal ini berlaku disebabkan kemasukan filem, vcd, majalah dan sebagainya yang kian berleluasa di negara kita.

Situasi 13 (Jumaat, 11/2/11)

Satu Perkataan Pada Sebuah Kotak 


Semester ini agak sibuk bagi saya dan rakan-rakan sekuliah kerana banyak tugasan yang perlu dibuat berbanding semester lepas. Namun, saya berasa sedikit lega kerana tidak ada kuliah pada setiap hari Jumaat. Hari ini saya menghabiskan masa dengan mengemas rumah pada waktu pagi. Sewaktu mengemas di ruang tamu, saya terpandang pada sebuah kotak yang tertera di bahagian hadapannya perkataan 'Biskut Coklat Berkerim'.

Saya agak terkejut kerana sebuah syarikat pengeluaran makanan ringan di Malaysia boleh membuat kesilapan seperti ini. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lebih peka terhadap penggunaan bahasa ini terutamanya dalam pengeluaran barang-barang buatan tempatan. Jika barangan ini dieksport ke luar negara sudah pasti dapat menjejaskan imej dan kedudukan bahasa Melayu. 

Penggunaan perkataan 'kerim' adalah salah dari aspek tatabahasa kerana perkataan yang sebenar ialah 'krim' yang bermaksud cecair pekat atau bahan yang agak kental yang berlemak dan berwarna kekuning-kuningan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 'krim' dapat ditakrifkan sebagai cecair pekat yang berwarna kuning keputih-putihan yang timbul di atas permukaan susu dan dijadikan sebagai makanan. 

Situasi 12 (Rabu, 9/2/11)

Balang atau Tabung?????


Kehidupan sebagai pelajar IPTA atau IPTS tidak lari daripada menghadiri kuliah. Sama ada kuliah tersebut lama atau sekejap semuanya diwajibkan hadir terutamanya bagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Hari ini kuliah saya hanya dua jam sahaja. Disebabkan kuliah habis awal, saya bersama rakan pergi ke Pekan Tanjong Malim untuk membeli sedikit barang keperluan.

Setelah penat berjalan, kami singgah di kedai runcit untuk membeli air dan makanan ringan yang lain. Seorang rakan saya iaitu Siti Fairus telah menyuruh saya mengambil gula-gula di dalam sebuah 'balang' yang berada berdekatan dengan saya pada masa itu. Namun saya buat tidak tahu sahaja kerana saya tidak faham percakapannya. Hal ini demikian kerana dia menyebut perkataan balang itu sebagai 'tabung'. Ayat yang diujarkan olehnya adalah : 

       "Tolong ambilkan gula-gula di dalam 'tabung' tu?"

Saya ingatkan dia bergurau kerana tabung itu adalah tempat menyimpan wang bukannya tempat mengisi gula-gula. Kini baru saya mengetahui bahawa masyarakat di Terengganu di daerah Setiu menyebut balang gula-gula sebagai tabung. Saya tidak pasti sama ada masyarakat Terengganu di daerah lain menyebut perkataan yang sama seperti masyarakat di Setiu atau tidak.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, 'balang' bermaksud bekas seperti botol (besar dan agak luas mulutnya), tempat menyimpan air (barang-barang makanan dan lain-lain).




Situasi 11 (Isnin, 7/2/11)

Kampung 


Setelah puas bercuti di kampung, kini tibalah masa untuk meneruskan perjuangan sebagai siswazah Universiti Pendidikan Sultan Idris. Hari ini bermula kelas pertama selepas cuti Tahun Baru Cina. Saya rasa belum terlambat untuk mengucapkan 'Selamat Tahun Baru Cina' kepada rakan-rakan dan seluruh kaum Cina yang menyambut perayaan ini. Semoga perayaan tahun ini lebih bermakna buat kalian.

Sepanjang perjalanan ke kuliah, saya dapati semua pelajar kelihatan ceria dan bersemangat. Selain itu, mereka juga sibuk bercerita mengenai percutian masing-masing termasuklah saya dan rakan-rakan. Perkara yang ingin dikongsikan di sini ialah mengenai percakapan salah seorang rakan saya berkaitan perkataan 'kampung' yang disebut olehnya sebagai 'kapong'. Pada mulanya saya tidak perasan rakan saya menyebut perkataan 'kapong', namun selepas berulang kali diujarkan olehnya barulah saya menyedari akan hal tersebut.

Merujuk situasi di atas, jelas menunjukkan bahawa dialek Terengganu bukan sahaja terdapat penambahan huruf malah terdapat juga pengguguran huruf dalam sesuatu perkataan.

   1. Contoh perkataan yang berlaku proses penambahan huruf: 'makang' (makan)
   2. Contoh perkataan yang berlaku proses pengguguran huruf  'kapong' (kampung)                                    
Contoh 1 menunjukkan pertambahan huruf 'g' untuk perkataan 'makan' manakala contoh 2 pula menunjukkan pengguguran huruf 'm' untuk perkataan 'kampung'.

Ahad, 13 Februari 2011

Situasi 10 (Isnin, 31/1/2011)

                                       Burger

Hari ini saya menghabiskan masa di rumah dengan membuat sedikit tugasan kuliah. Setelah penat, perut saya tiba-tiba terasa hendak makan burger yang dijual berdekatan dengan rumah lalu saya mengajak adik saya pergi membelinya. Situasi yang ingin saya kongsikan di sini adalah mengenai pemuda yang menjual burger tersebut. Selepas saya memberitahu burger yang diingini, pemuda itu bertanya kepada saya :
      "Adik nak tambah cheese (keju) tak dalam burger? Hotdog (sosej) pun ada?"
Sekali lagi saya terfikir bahawa bukan masyarakat di bandar sahaja yang pandai menggunakan bahasa Inggeris dalam percakapan harian mereka malah masyarakat di kampung juga sudah pandai menggunakannya. Namun, bagi sesetengah anak muda di kampung mereka tidak tahu sesuatu ungkapan Inggeris yang disebut itu di dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana setiap hari mereka menyebut perkataan yang sama sesama rakan dan juga pelanggan. Misalnya perkataan 'hotdog' . Mereka tidak tahu bahawa hotdog itu sebenarnya sosej dalam bahasa Melayu. Kita tidak perlu bersusah payah untuk mengkaji situasi ini di tempat yang jauh kerana semua ini berlaku di sekeliling kita setiap hari. Cuma kita perlu lebih peka terhadap persekitaran yang kita lalui.

Situasi 9 (Ahad, 30/1/2011)

Daging Black Pepper


Hari ini saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah sahaja. Saya menolong emak memasak di dapur dan sempat juga emak mengajar masakan yang sedang dimasaknya serta memberi beberapa petua. Perkara yang menarik perhatian saya adalah penggunaan perkataan 'daging black pepper' yang disebut oleh emak secara berulang kali. Rasa kelakar juga apabila mengingatkan emak cakap dalam bahasa Inggeris. Betapa hebatnya penangan bahasa Inggeris dalam masyarakat kita sehingga golongan ibu-ibu di kampung juga turut menyebutnya. Apabila mendengar emak saya menyebut perkataan itu, semua saudara saya yang berada di rumah turut menyebutnya. Tidak ada seorang pun yang menyebut masakan itu sebagai daging masak lada hitam. Semuanya menyebut daging black pepper. Memang sudah tidak dapat dinafikan lagi penggunaan bahasa Inggeris ini begitu berleluasa sekali dalam kehidupan seharian kita. Walau apa pun, saya telah berjaya mempelajari satu masakan baru daripada resepi emak. Terima kasih emak!

Situasi 8 (Sabtu, 29/1/2011)

Promosi: Kasut


Hari ini saya bersama keluarga pergi Alor Setar untuk beli belah. Pada waktu cuti perayaan Tahun Baru Cina orang suka beli belah kerana terdapat banyak potongan harga sehingga mencecah 80%. Bukan di Kuala Lumpur sahaja malah di sini pun saya mendapati tanda promosi ditulis dengan perkataan Inggeris. Bagi kedai kasut XES yang kami masuk, tanda promosi yang tertera di situ ialah 'Buy 1 Pair, 2nd Pair Free'. Semua pengunjung yang masuk ke kedai itu akan bertanya kepada jurujual seperti :
                              "Betul ke beli 1, free 1?"
Saya mendapati penggunaan perkataan 'free' ini bukan sahaja keluar dari mulut orang dewasa, malah kanak-kanak dan orang-orang tua juga turut menyebut perkataan yang sama. Jelas di sini bahawa penggunaan bahasa Inggeris tetap wujud dalam diri masyarakat Melayu hari ini walaupun sedikit. Salah satu sebabnya adalah pengaruh daripada tanda-tanda promosi yang terdapat di setiap pusat membeli belah di seluruh negeri.

Situasi 7 (Jumaat, 28/1/11)

                                          "I & You"
Hari ini adalah hari yang paling gembira buat saya kerana dapat pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina.. Tidak sabar rasanya untuk berjumpa keluarga tercinta. Saya bersama Nisa iaitu rakan satu negeri pulang dengan menaiki bas. Kisah yang ingin diceritakan di sini adalah mengenai sepasang kekasih yang berada di dalam bas bersama kami. Disebabkan mereka duduk di kerusi belakang kami, secara tidak sengaja kami dapat mendengar perbualan mereka. Nada percakapan mereka agak kuat juga sehingga mengganggu ketenteraman kami. Setiap butir bicara mereka dapat didengar dengan jelas sekali. Antaranya ialah
        P:  "I lapar laa..bila bas ni nak berhenti?"..
        L :  "Makanla roti yang you beli tadi tu dulu..nanti perut masuk angin plak!"
Mereka menggunakan kata ganti diri I dan You dalam membahasakan diri masing-masing. Apa salahnya kalau mereka menggunakan saya, awak, kamu dan sebagainya! Kenapa mesti menggunakan bahasa asing sedangkan kita ini berbangsa Melayu dan hidup juga di tanah Melayu! Cuba fikir-fikirkannya..

Situasi 6 (Rabu, 26/1/2011)

Belanga : Kuali, Kawah atau Periuk Tanah??




Hari ini saya bersama rakan saya iaitu Hasmah dan Siti Fairus memasak di rumah. Situasi yang saya akan ceritakan ini mungkin agak lucu namun telah membuatkan saya mempelajari perkara baru. Ceritanya bermula apabila saya menyuruh Siti Fairus untuk meletakkan 'belanga' di atas dapur untuk menggoreng telur. Saya hairan melihat dia ketawa sambil berkata kepada saya, "tak kan nak goreng telur pun nak guna belanga"? Rupa-rupanya 'belanga' yang saya maksudkan 'kuali' itu adalah 'kawah' bagi masyarakat di tempatnya. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, belanga bermaksud periuk yang diperbuat daripada tanah. Bagi masyarakat di tempat saya, belanga itu merujuk kepada kuali. Baru saya sedar selama ini saya telah tersilap faham tentang maksud perkataan 'kuali' dan 'belanga'. Kesimpulannya sesetengah masyarakat Terengganu menggambarkan belanga itu kawah, masyarakat di Perlis pula menggambarkan belanga itu kuali dan Kamus Dewan pula menyatakan belanga itu periuk tanah. Jelas terdapat perbezaan yang ketara dalam konteks ini.

Situasi 5 (Ahad, 23/1/2011)

Warna Baju

Hari ini saya dan rakan-rakan masih lagi berada di Kuala Lumpur. Kami bermalam di rumah sewa rakan saya berhampiran Universiti Malaya. Sebelum pulang, kami pergi ke sebuah kedai pakaian untuk membeli baju. Sewaktu memilih baju, seorang rakan saya telah berkata "aku nak cari baju warna pink atau purple sahaja!" Situasi tersebut membuatkan saya tiba-tiba teringat akan tugasan sosiolinguistik ini. Percampuran bahasa seperti ini memang sudah sebati dalam masyarakat kita hari ini. Walaupun perkara tersebut nampak remeh, namun ia tetap salah dari segi penggunaan bahasa Melayu yang betul. Kita dapat lihat di sekeliling kita ramai orang lebih suka menyebut warna pink daripada menyebut warna 'merah jambu' dan begitu juga dengan warna 'ungu' yang lebih gemar disebut warna purple. Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah masyarakat. Oleh itu, hal sebegini sukar untuk diperbetulkan semula.

Situasi 4 (Sabtu, 22/1/2011)

Harga Runtuh!

Hari minggu adalah hari untuk merehatkan badan dan minda. Oleh itu saya bersama beberapa orang rakan telah pergi ke Kuala Lumpur untuk berjalan-jalan. Selepas menonton wayang, kami pergi beli belah di 'Jusco'. dan kami sangat bertuah kerana barang-barang di sana ada potongan harga sempena menyambut Tahun Baru Cina. Namun, apa yang dikesali adalah kebanyakan tanda 'potongan harga' dan 'jualan murah' ditulis dalam bahasa Inggeris iaitu 'Sale' dan 'Less'. Sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seharusnya menukar perkataan itu kepada bahasa Melayu. Paparan seperti itu telah menyebabkan pembeli turut menggunakan perkataan yang sama. Saya percaya kebanyakan pembeli akan menggunakan perkataan yang mereka lihat dalam proses pembelian. Misalnya,"Bila tarikh last sale ni?" dan "Baju ini berapa per cent less?" Ramai yang tidak menyedari bahawa bahasa yang mereka gunakan itu merupakan bahasa rojak. Perkara ini boleh dielakkan jika seseorang itu mempunyai semangat dan nilai kesedaran yang tinggi terhadap bahasa Melayu.